PERGAULAN BEBAS
Sebenarnya dalam Islam tidak ada istilah "pergaulan bebas", sebab secara fitrah manusia memiliki keharusan untuk bergaul dalam interaksi sosial yang merupakan sunah sosial dan kehidupan itu sendiri. Namun setelah masuknya budaya asing ke dalam pergaulan masyarakat muslim yang dibentuk oleh kecenderungan material semata-mata dan falsafah hidup yang lahir dari bumi dan hawa nafsu, maka Islam menamakannya sebagai pergaulan bebas, bebas dari tuntunan wahyu, moral dan fitrah. Pergaulan adalah salah satu cara seseorang untuk berinteraksi dengan alam persekitarannya. Bergaul dengan orang lain menjadi satu keperluan yang sangat asas, bahkan boleh dikatakan wajib bagi setiap manusia yang “masih hidup” di dunia ini. Sungguh menjadi sesuatu yang aneh atau bahkan sangat pelik, jika ada orang yang mampu hidup sendiri kerana memang begitulah fitrah manusia. Manusia memerlukan kehadiran orang lain dalam kehidupannya. Tidak ada mahluk yang diciptakan sama seratus peratus di dunia ini. Semuanya diciptakan Allah berbeza-beza. Meskipun ada persamaan, akan tetapi tetap semuanya berbeza. Tetapi masyarakat kita pada hari ini lebih terikut dan terbawa-bawa budaya dari Timur terutamanya dari segi pergaulan di antara lelaki dan wanita. Pergaulan mereka tiada batasan menyebabkan cenderungnya berlaku perkara-perkara tidak di ingini seperti kes rogol, berzina dan sebagainya. Masalah inilah yang perlu kita bendung bersama-sama dengan kerjasama semua pihak.
Pernahkah kita terfikir atau memahami bahawa dengan menjaga batas pergaulan seharian di pejabat, kita boleh mendapat habuan pahala daripada Allah dan keharmonian rumah tangga kekal terpelihara. Melalui pengamatan dan pembacaan masa kini, kita dapati fenomena perhubungan sumbang (zina) antara isteri orang dengan suami orang sudah mula membarah dalam masyarakat Islam kita. Kadangkala situasi yang memungkinkan berlakunya fenomena itu wujud tanpa disedari. Kata kunci terhadap perkara ini ialah kerana kita tidak sensitif terhadap pergaulan di pejabat. Budaya menjauhi zina tidak lagi menjadi slogan dalam diari pergaulan kita. Adakah kerana kesibukan dalam tugas pejabat yang memerlukan lebih banyak masa untuk diluangkan di pejabat hingga lepas waktu kerja? Sememangnya kadangkala keadaan itu tidak dapat dielakkan. Cuma wanita harus lebih peka ruang yang menyebabkan timbulnya fitnah. Manakala punca atau faktor yang kedua berlakunya hubungan terlarang daripada masalah pergaulan bebas ialah kurangnya perhatian daripada kedua orang tua kita. Pada zaman yang serba berteknologi tinggi ini, kebanyakkan orang tua kita lebih sibuk bekerja. Oleh yang demikian perhatian terhadap anak-anak di rumah terabai dan mereka tidak dapat memberi sepenuh perhatian mereka terhadap anak-anak. Inilah antara penyebab anak-anak lebih gemar keluar mencari teman-teman untuk berhibur seterusnya menyumbangkan masalah berlakunya gejala sosial seperti bezina, mengambil dadah dan sebagainya.
Rata-rata remaja yang terjebak dengan masalah pergaulan bebas adalah berpunca daripada kurangnya kasih sayang daripada keluarga mereka. Anak remaja berasa tersisih apabila berada dalam keluarga terutamanya apabila ada di antara ibu bapa yang melebih-lebihkan anak-anaknya yang lain tanpa memberi kasih sayang secara saksama kepada ke semua anak-anaknya. Kurangnya pendidikan di kalangan anak- anak remaja juga punca berlakunya hubungan terlarang. Ini di sebabkan oleh ibu bapa mereka yang tidak mementingkan pendidikan di kalangan anak-anak terutamanya pendidikan agama. Punca-punca yang remeh atau ringan inilah penyebab terbesar berlakunya gejala sosial di kalangan anak-anak remaja di negara kita seperti masalah pergaulan bebas yang kian sukar untuk di bendung pada masa kini.
AKIBAT ATAU KESAN DARIPADA PERGAULAN BEBAS
Masalah daripada pergaulan bebas ini mempunyai kesan atau akibat yang negatif. Di antara kesan negatifnya seperti boleh lahirnya anak luar nikah akibat daripada hubungan terlarang (zina), merempit, pengambilan dadah, kes rogol, merompak dan sebagainya. Pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang tidak terkawal akan mendatangkan banyak kesan buruk kepada masyarakat. Contoh yang jelas dapat dilihat dalam masyarakat barat yang rata-rata mengamalkan pergaulan bebas. Sungguhpun dari aspek kebendaan mereka agak terkehadapan, namun dari aspek kerohanian dan akhlak mereka jauh ketinggalan di belakang. Antara kesan buruk daripada pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan ialah keruntuhan akhlak. Salah seorang Presiden Amerika Syarikat pernah mengeluarkan kenyataan akhbar pada tahun 1962 yang menyatakan bahawa para pemuda di negaranya telah rosak, tenggelam dalam kerosakan. Di antara tujuh orang pemuda yang ingin menyertai tentera, terdapat enam orang yang tidak layak disebabkan mereka leka dalam keseronokan seks.
Kesan buruk yang kedua pula ialah tersebarnya anak luar nikah. Menurut statistik yang telah dibuat di New York pada tahun 1983, lebih daripada satu pertiga bayi yang lahir pada tahun tersebut adalah anak luar nikah. Kebanyakannya dilahirkan oleh pemudi yang berumur sekitar sembilan belas tahun dan ke bawah. Bilangannya secara tepat ialah 112,353 orang bayi iaitu 37% daripada bilangan bayi yang lain di New York. Kesan buruk yang seterusnya ialah menjadikan ramai pemuda pemudi yang tidak berkahwin. Perkara ini berlaku kerana pergaulan yang bebas akan mewujudkan cara mudah untuk melempiaskan nafsu syahwat. Justeru, para pemuda akan memilih cara mudah ini daripada berkahwin. Statistik yang dilakukan di San Francisco menunjukkan bahawa majoriti penduduk di situ terdiri daripada golongan yang tidak berkahwin pada tahun 1982. Ini merupakan kali pertama perkara seumpama ini berlaku di bandar itu. Berlakunya banyak perceraian dan keruntuhan rumahtangga juga merupakan kesan buruk daripada masalah pergaulan bebas ini. Sekiranya sebelum proses perkahwinan pun sudah ada pelbagai halangan dan cabaran akibat pergaulan bebas, maka selepas berkahwin pun ia tidak akan kekal lama. Institusi keluarga akan mudah hancur, walaupun hanya disebabkan oleh perkara kecil. Ini dapat dilihat pada pertambahan kes perceraian di Amerika Syarikat dan negara-negara barat lain dari tahun ke tahun.
Tersebarnya penyakit-penyakit yang membawa maut. Terdapat pelbagai penyakit yang lahir disebabkan oleh hubungan bebas di antara lelaki dan wanita, tidak kiralah mental mahupun fizikal. Antara penyakit tersebut ialah AIDS. Penyakit ini boleh membawa maut dan ubatnya masih belum ditemui sehingga ke hari ini. Oleh itu, sebelum masalah ini menjadi semakin serius, kita sebagai masyarakat perlu mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung masalah pergaulan bebas ini. Hayatilah ungkapan ayat ini..
“Mula-mula duduk rapat, lepas duduk rapat, kemudian lawan peluk erat-erat, bila dah peluk erat-erat, akhirnya nafas naik tersekat-sekat, apabila nafas dah naik tersekat-sekat, usah dipeduli Allah dan malaikat, bila usah dipeduli Allah dan malaikat, usah dipeduli agama dan adat, bila tidak dipeduli agama dan adat, yang penting lepas ni apa kita nak buat kita buat, lepas mereka buat, perut yang kempis jadi bulat, bila perut dah membulat, maka sudah terlambat…”
PENYELESAIAN ATAU PENCEGAHAN PERGAULAN BEBAS
Perbincangan mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja ini. Berikut beberapa saranan umtuk mengatasi masalah pergaulan bebas iaitu peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
Seterusnya ialah melalui pendekatan akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas. Mewujudkan sistem perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis. Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut. Dan cara penyelesaian yang terakhir sekali ialah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif. PIBG jangan lah jadi umpama “KUCING TAK BERGIGI, TIKUS LOMPAT TINGGI-TINGGI”
KESIMPULAN
“ Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al Hujurat <49>:13).
Daripada ayat Quran di atas, jelaslah bahawa kita di haruskan untuk bergaul sesama manusia tetapi kita perlu ingat bahawa terdapatnya batasan dalam Islam di dalam pergaulan kita di antara lelaki dan perempuan. Tetapi semuanya bergantung pada niat kita. Contohnya, dalam suasana kerja atau organisasi di mana kita dituntut untuk berinteraksi dengan orang ramai, baik lelaki ataupun wanita, kita tentu saja diperbolehkan mengadakan kontak dengan lawan jenis (berbeza jantina, lelaki dengan perempuan). Pada prinsipnya, jika maksud kita untuk kebaikan dan batasan-batasan syariat tetap dijaga, semuanya dibolehkan dalam Islam. Islam tidaklah pernah bertujuan untuk mempersulitkan sesuatu, tapi justeru mempermudahkan hidup kita. Segala yang disyariatkan sudah tentu demi kebaikan umat sekalian manusia. Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.
Category: Artikel
0 comments