Gejala Sosial dikalangan Rakyat Malaysia
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Setiap hari kita membaca berita-berita menakutkan di dada akhbar. Kisah pembuangan bayi, pembunuhan, rogol , samun, penyalahgunaan dadah, rasuah merupakan kes jenyah yang menunjukkan betapa runtuhnya moral di kalangan rakyat kita. Keadaan ini juga menunjukkan betapa nilai-nilai kemanusiaan makin hilang dalam diri manusia itu sendiri. Masalah yang berlaku ini akan memberi kesan terhadap pembangunan negara. Dengan kadar jenayah yang meningkat, pembangunan sedikit sebanyak akan terganggu. Bayangkan sekiranya setiap hari berlaku jenayah, orang ramai sudah pasti takut untuk melakukan aktiviti seharian manakala peniaga pastinya tidak berani untuk mengambil risiko dengan membuka kedai lebih dari waktunya.
Mengapa agaknya ini terjadi? Mungkin ramai dari anda mempunyai pandangan sendiri tentang perkara tersebut. Untuk entri ini 3 isi penyebab utama dibincangkan :-
1. Terlalu mengejar material merupakan antara penyebab utama sukar untuk membendung jenayah-jenayah. Ini bukan bermaksud harta tidak perlu dicari namun perlu dalam keadaan ‘adil’ antara pencarian harta dunia dan akhirat. Kalau diperhatikan di zaman moden ini, manusia lebih sibuk mencari duit sehingga sanggup melakukan perkara yang ditegah oleh agama dan undang-undang. Perkara ini perlu dibendung kerana mereka yang mencari harta sebegini akan menyebabkan berlakunya penindasan terhadap insan yang lemah.
Selain itu, pengejaran material yang melampau juga sering menyebabkan individu tersebut lalai menunaikan tanggungjawab sosial samada terhadap keluarga ataupun masyarakat. Disebabkan itulah kurangnya perhatian terhadap keluarga dan kawasan kejiranan. Ini berlaku bila ibubapa seharian mencari duit tanpa mengikuti perkembangan keluarga dan kawasan setempat. Bila kurang perhatian, maka akan timbulnya jenayah yang berlaku oleh mereka yang perlu diberi perhatian.
2. Kurangnya nilai-nilai murni yang diterapkan dalam diri. Seperti yang kita ketahui, pegangan agama penting bagi memberikan landasan dalam hidup. Tanpa agama manusia akan terpesong kerana tiada sempadan hidup. Mungkin ramai yang mengatakan agama mengongkong tetapi dengan kongkongan itulah menyebabkan hidup lebih aman. Sebaliknya dengan kehidupan bebas tanpa sempadan pula akan mengucar kacirkan kehidupan di dunia ini. Nilai-nilai murni bukan mudah untuk diterapkan, kadangkala masih terdapat individu yang rajin solat tapi masih mengumpat, memfitnah. Ini disebabkan oleh kurangnya penghayatan dalam solat itu sendiri.
Selain itu terdapat juga individu yang memperlekehkan agama dengan memberi alasan ‘ Kubur lain-lain’. Memang benar ‘ kubur lain-lain’ tetapi kalau bala menimpa, ianya bukan terkena pada mereka saja, orang yang tiada kena mengena akan terkena tempiasnya juga.
3. Pengaruh dari persekitaran juga menjadi penyumbang utama gejala sosial. Cuba kita lihat di sana sini, majalah hiburan merata-rata dijual dengan gambar-gambar yang menjadi perangsang kepada nafsu. Ditambah dengan media elektronik seperti TV, DVD, internet yang sukar dibendung. Kemudahan yang disalah guna untuk perkara yang tidak sepatutnya mengubah naluri manusia untuk bersikap ganas seterusnya mendorong mereka melakukan jenayah.
Gejala sosial ini perlu dibendung dengan segera bagi mengelakkan ianya merebak seterusnya merosakkan rakyat amnya. Setiap dari kita perlu mengembleng tenaga untuk mencari formula bagi menyelesaikan masalah ini.
Sekian. Terima kasih
Category: Artikel
0 comments