Gejala Sosial, Di Mana Silapnya?
Sedih dan sangat kecewa bila mendengar isu pembuangan bayi di negara kita semakin menjadi-jadi, ditambah pula dengan berbagai-bagai tangkapan khalwat oleh pihak berwajib ke atas muda-mudi (termasuk pelajar institusi pengajian tinggi) pada malam tahun baru cina yang lalu. Apa dah jadi? Siapa yang perlu dipersalahkan? Remaja? Ibubapa? Sekolah? Intitusi pengajian tinggi? Pihak berwajib? Kerajaan? Atau… siapa?! Ramai yang mencadangkan pelbagai hukuman berat patut dikenakan kepada pesalah, walaupun banyak pro dan kontranya. Tapi adakah kita mahu melihat hukuman dikenakan atau membenteras sebelum ianya berlaku?
Pembangunan sebuah negara itu memang bergantung kepada sikap dan komitmen pemerintah dan rakyatnya yang memerlukan keduanya bekerjasama erat dan padu. Banyak isu yang perlu diambil kira seperti pembangunan infrastruktur, tenaga kerja, ekonomi, politik, keagamaan dan sebagainya. Semua itu menjurus kepada pembangunan negara yang kukuh dan terarah yang mana nanti akan menjamin kemakmuran dan kestabilan negara dan bangsa.
Namun dalam membangun negara, kita tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu sahaja, tetapi juga ianya perlu seiring dengan pengukuhan sistem nilai yang mana nanti akan memantapkan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti yang tinggi.
Negara kita perlu memiliki rakyatnya yang berbudi bahasa, bertanggungjawab, hormat-menghormati, amanah dan jujur serta berintegriti kerana sistem nilai akan dijadikan kayu pengukur sebenar tahap moral dan sosial sesebuah negara. Dengan yang demikian pembangunan negara akan menjadi seimbang dengan pembangunan sosial khususnya dalam mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang hidup aman damai dan sejahtera.
Jika diteliti, gejala sosial yang berlaku pada ketika ini adalah sangat berkait rapat dengan nilai hidup sesebuah masyarakat, keluarga atau individu. Oleh itu, dalam usaha ke arah menangani pelbagai masalah sosial yang wujud, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin dan sentiasa mengawasi aktiviti dan pergerakan anak-anak remaja mereka.
Pada masa yang sama, ibu bapa juga hendaklah meningkatkan lagi komitmen bagi membina sebuah kelaurga yang harmoni, memupuk nilai positif supaya anak-anak kita menjadi warganegara yang produktif, sihat dan mempunyai semangat patriotisme dan sikap mandiri yang tinggi.
Pihak kerajaan melalui agensi-agensi tertentu serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga telah dan akan terus memainkan peranan, berganding bahu bagi meningkatkan usaha mengatasi masalah sosial. Setiap batang tubuh individu dan keluarga juga perlu membina kekuatan dalaman sebagai asas utama kehidupan.
Kekuatan dalaman yang dimaksudkan di sini adalah kekuatan iman dan takwa, kerana dengannya kita akan menjadi takut dan ragu untuk melakukan sebarang perbuatan yang tidak mendatangkan faedah atau perbuatan yang sia-sia apatah lagi perbuatan yang memang dilarang oleh agama dan masyarakat untuk dilakukan.
Hal ini memang jelas apabila setiap keluarga dan individu itu perlu mempunyai peranan masing-masing untuk membendung pengaruh negatif luaran kerana kekuatan dalaman dan keluarga perlu menghadapi masalah serta pelbagai penyakit sosial.
Walaupun kekuatan kekeluargaan dan penguatkuasaan undang-undang begitu dekat persamaannya, apa yang lebih penting ialah kebolehan kita memastikan rumah, tempat kerja, sekolah dan persekitaran kita adalah bebas daripada gejala sosial.
Negara memerlukan generasi pewaris yang bijak, berpengetahuan, mandiri, kuat fizikal dan mental serta kukuh kekuatan dalaman, berwibawa, berwawasan, berdaya saing, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat, bangsa dan negara, bermotivasi tinggi, kreatif, dedikasi dan berfikiran positif dan luas.
Dalam usaha meningkatkan kekuatan dan kekukuhan institusi keluarga bagi melaksanakan tanggungjawab ke arah menangani gejala sosial, peningkatan kemahiran keibubapaan atau bimbingan seumpamanya adalah sangat dititikberatkan.
Pada saya, rata-rata kita di negara ini mendirikan rumah tangga pada usia di sekitar 20 hingga ke 30 tahun. Malahan aliran yang ada sekarang ramai remaja yang sama ada kahwin awal atau ‘terpaksa’ kahwin awal. Dengan yang demikian mereka menjadi ibu bapa yang muda pada usia dan pengalaman dan terpaksa memikul tanggungjawab membesar dan mengasuh anak. Tanggungjawab seumpama ini adalah satu kemahiran, walaupun ianya menjadi suatu tanggungjawab mutlak bagi ibu bapa.
Dengan yang demikian komitmen dan motivasi dalaman untuk membabitkan diri dalam membangun akhlak anak dan remaja adalah tidak boleh diabaikan. Sikap dan sistem nilai harus dipupuk kepada setiap anggota keluarga bagi memastikan anak-anak dibesarkan dalam suasana harmoni serta diserapkan dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran masa depan.
Marilah kita kembali kepada akal umbinya. Ilmu keagamaan tentunya menjanjikan kekuatan jiwa kepada kita bukan saja untuk pelindung diri sendiri, malah membimbing dan mendidik anak dan masyarakat mengenal erti perikemanusiaan atau keinsanan.
Category: Artikel
0 comments