Kes Homoseksual

product 1

Gejala hubungan homoseksual boleh dikategorikan sebagai penyakit mental. Ia juga antara...

Kes Pergaulan Bebas

product 1

Akibat pergaulan bebas, seramai 768 remaja seawal usia 13 tahun, melahirkan anak yang...

Kes Mat Rempit

product 1

Penduduk Gombak dihantui kebimbangan berikutan kegiatan sekumpulan Mat Rempit yang...

VANDALISME

GelajaKini | 10:29 | 0 comments

Kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan mengenai isu yang berkaitan dengan masalah sosial melibatkan remaja berlaku di negara kita yang kian menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kes-kes jenayah seperti vandalisme, gengsterisme, bunuh, rogol, ragut, pengedaran dadah, rasuah, pelacuran dan sebagainya kerap menghiasi dada-dada akhbar, majalah dan lain-lain setiap masa. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai murni kemanusiaan. Adakah gejala seperti ini wajar dibiarkan atau perlu ditangani? Jika perlu siapakah yang harus memainkan peranan? Adakah ibu bapa, masyarakat atau pihak sekolah?

Menurut Kamus Dewan, vandalisme didefinisikan sebagai perbuatan merosakkan dan memusnahkan kemudahan awam. Perbuatan ataupun perlakuan mencoteng, mengotorkan benda-benda, ataupun merosakkan harta benda awam dianggap sebagai vandalisme. Tindakan terkutuk ini adalah hina terhadap sahsiah diri pelakunya. Jenayah laku musnah ini biasanya merujuk kepada perbuatan merosakkan harta benda awam seperti papan tanda, kerusi awam, perhentian bas, telefon awam, tandas awam dan juga lain-lain. Kelakuan ini biasanya diasiosiasikan remaja yang terlibat dalam budaya melepak dan motif untuk melakukan vandalisme adalah terletak pada aspek emosi. Vandalisme biasanya dianggap sebagai suatu cara untuk melepaskan rasa geram, ataupun menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun motif mereka adalah begitu ringan tetapi masyarakat awam terpaksa menanggung kerugian yang besar untuk memenuhi nafsu mereka yang hina.

Selain itu juga, perbuatan ini biasanya dilakukan oleh golongan remaja ataupun generasi muda dalam lingkungan usia 13 tahun hingga 24 tahun. Mereka yang tidak bertimbang rasa ini bertindak merosakkan telefon awam serta tandas awam yang telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk melukis serta menulis perkara yang bukan-bukan di dinding sesebuah bangunan dan sebagainya. Bagi remaja yang masih bersekolah pula, mereka akan bertindak merosakkan kerusi, meja, papan hitam dan lain-lain yang merupakan kepunyaan sekolah serta barang keperluan seseorang pelajar. Hal ini seterusnya telah merosakkan keindahan sesebuah tempat. Secara tidak langsung, nama serta imej negara kita Malaysia akan turut terjejas dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini. Oleh itu, marilah kita merenung sejenak memerihalkan faktor-faktor berlakunya vandalisme dan langkah-langkah yang drastik perlu diambil bagi membendung masalah ini daripada berleluasa. Baru-baru ini di Kuala Lumpur sebanyak 92 kes kerosakan di 420 unit lif di 50 rumah pangsa kos rendah dan sederhana di sekitar ibu negara adalah berpunca daripada perbuatan vandalisme. Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Dr. Johari Basri semasa mendedahkan tabiat buruk penghuni rumah bertingkat itu berkata, kes berkenaan dikesan ketika pemeriksaan yang dilakukan selama tiga hari bermula 22 Februari lalu. Antara kerosakan akibat vandalisme ialah kerosakan lantai dan dinding lif sebanyak 17 kes, kerosakan butang kawalan 50 kes dan kerosakan pintu lif 25 kes.


FAKTOR-FAKTOR

Apabila membangkitkan masalah ini, kita perlu mencari punca berlakunya masalah hingga ke akar umbi. Sebab utama ialah mereka ingin meluahkan rasa terbuka atau tekanan perasaan. Antara faktor yang menyebabkan berlakunya vandalisme adalah kurangnya penekanan tarhadap pendidikan agama serta moral sama ada di sekolah ataupun di rumah. Hal ini penting kerana tanpa pendidikan tersebut, seseorang tidak akan mengetahui nilai-nilai murni yang sepatutnya diamalkan oleh seseorang individu. Mereka tidak akan tahu kepentingan berbuat baik serta mungkin berhadapan dengan kesukaran dalam membezakan betul ataupun salah sesuatu perbuatan. Hal ini mungkin berlaku akibat daripada sikap pelajar yang menganggap pendidikan moral tidak berguna serta tidak mendatangkan sebarang manfaat. Guru-guru yang tidak menekankan kepentingan dan kebaikan pendidikan moral di sekolah juga menyebabkan kegagalan mewujudkan generasi muda yang soleh dan solehah. Ibu bapa yang rakus ataupun serakah mengejar kekayaan dan kewangan telah menyisihkan pendidikan yang penting ini. Oleh itu, anak-anak tidak mendapat pendidikan moral dan agama yang secukupnya lalu bertindak vandalisme kerana tiada pengajaran yang menentang perbuatan itu. Apabila mereka dewasa kelak, mereka juga telah mempraktikkan perbuatan itu dalam kehidupan seharian. Dengan ini, telah jelas menunjukkan bahawa kurangnya pendidikan moral dan agama merupakan salah satu faktor berlakunya vandalisme.

Selain itu, kelemahan dan keruntuhan institusi keluarga terutamanya kekurangan kasih sayang, perhatian, asuhan dan didikan akhlak daripada ibu bapa kepada anak- anak. Ibu bapa yang dibuai kebendaan dan mementingkan karier serta wang selalu mengabaikan tanggungjawab mereka ke atas anak-anak di rumah. Anak-anak dibiarkan hanyut dalam dunia khayalan yang menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Mereka mudah meyimpang daripada lunas yang murni dan berakhlak, kini mereka hidup bebas tanpa segan silu dan tidak menghiraukan masyarakat apabila melakukan pelbagai gejala sosial. Kebebasan tanpa pedoman, batasan dan didikan agama akan berakhir dengan kehancuran. Setiap remaja tiada pilihan melainkan menjadikan agama sebagai sumber penjana remaja cemerlang. Diri remaja perlu dikukuhkan dengan unsur kerohanian yang mantap sehingga berupaya melakukan jihad menentang segala cabaran masa depan yang lebih hebat. Remaja perlu mengetahui, memahami dan menghayati matlamat hidup di dunia. Mereka perlu sedar dari mana mereka datang, kenapa mereka dijadikan dan ke mana mereka akan dikembalikan. Hal ini menjadikan remaja bertanggungjawab kepada diri sendiri, agama, bangsa, dan negara. Selain itu, mendekatkan diri dengan agama adalah peluang menjamin masa depan remaja yang lebih cerah dan cemerlang. Pegangan agama yang kukuh dan berkesan perlu bagi menimbulkan keinsafan dan kesedaran supaya remaja memanfaatkan masa remaja dengan menimba ilmu dan kesedaran supaya remaja menghormati guru demi kebahagiaan dunia dan akhirat. Remaja juga perlu mempunyai daya tahan dari segi fizikal dan mental bagi merialisasikan cita-cita diri, agama, bangsa dan negara. Ciri-ciri jati diri, waja diri dan kawalan diri yang kukuh perlu dimiliki oleh remaja. Ia berfungsi mengawal perasaan, emosi dan nafsu yang dapat menjerumuskan ke lembah gejala sosial yang hina.

Tekanan dan pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor berlakunya vandalisme. Hal ini demikian kerana sejajar dengan pawana globalisasi di negara kita Malaysia, pendidikan telah pun semakin dipentingkan serta dititikberatkan. Keadaan ini seterusnya telah menyebabkan ibu bapa mewajibkan anak mereka agar lulus peperiksaan dengan keputusan yang cemerlang agar dapat berkhidmat serta menyumbang kepada negara pada masa hadapan. Oleh itu, seseorang pelajar akan mengalami banyak tekanan hidup untuk belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak mengecewakan harapan ibu bapa masing-masing. Terdapat kemungkinan bahawa individu tersebut akan bertindak melakukan perbuatan vandalisme untuk melampiaskan beban hidup yang mereka dihadapi. Mereka mungkin beranggapan bahawa perbuatan itu amat menyeronokkan dan juga dapat membalas dendam kepada pihak sekolah yang mewajibkan peperiksaan dijalankan. Selain itu, bagi generasi muda pula, ada di antara mereka yang mungkin jatuh di bawah tekanan pengaruh rakan sebaya untuk melakukan perbuatan vandalisme. Hal ini berlaku kerana mereka tidak berpendirian teguh dan lama-kelamaan telah pun mengikuti ataupun mencontohi perbuatan rakan mereka yang tidak senonoh itu. Mereka mungkin juga berhadapan dengan tekanan dalam kerja dan bertindak melakukan vandalisme sebagai satu wadah melepaskan tekanan. Dengan ini; memang tidak dapat disangkal bahawa tekanan dan pengaruh rakan sebaya merupakan faktor berlakunya vandalisme.

Selain itu, media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya. Sikap tidak peduli, individualistik dan materialistik masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial menyebabkan masalah vandalisme ini wujud. Menurut kajian, masalah vandalisme banyak berlaku di bandar berbanding luar bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar sukar dikawal dan biasanya sesetengah penduduk tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.



KESAN-KESAN

Setiap perbuatan yang dilakukan memberi kesan yang mendalam terhadap sesuatu yang dilakukan. Begitu juga dengan vandalisme yang memberi banyak kesan yang dapat dilihat oleh fizikal dan juga emosi. Kesan vandalisme bukan dirasai oleh individu sahaja malah masyarakat sekeliling dan negara juga memberi impak yang teruk akibat perbuatan yang tidak bermoral dan menyusahkan semua pihak. Vandalisme boleh memberi kesan kepada individu, masyarakat, dan negara. Walaupun perbuatan vandalisme tidak memudaratkan tetapi membawa kerosakan yang kekal dan perbuatan ini mencemarkan tempat tumpuan orang ramai.

Kebanyakkan individu yang melakukan vandalisme hanya untuk melepaskan geram dan sesetengah mereka untuk memenuhi kepuasan hati. Hal ini mendatangkan kesan ke atas individu itu sendiri. Kesan yang amat ketara dapat dilihat ke atas kehidupan remaja itu sendiri kerana kehidupan mereka dipersiakan begitu sahaja dengan membuang masa tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah. Selain itu, seseorang individu mudah terpengaruh dengan pelbagai kegiatan negatif kerana mudah tepesong dengan pengangan hidup mereka. Apabila pengaruh luar mula mendekati mereka tanpa berfikir panjang mereka mudah mengikuti gejala tersebut kerana pemikiran remaja sebenarnya dipenuhi dengan keburukan dan tidak hairan jika mereka melakukan sesuatu tindakan itu diluar kawalan mereka.

Vandalisme sering dipandang remeh oleh masyarakat setempat dan mereka hanya duduk diam sedangkan vandalisme berlaku di depan mata mereka. Akhirnya masyarakat juga yang merana akibat aktiviti yang terkutuk itu. Selain itu, kegiatan ini juga akan menyusahkan masyarakat kerana kegiatan ini melibatkan harta benda awam. Apabila mereka melakukan kegiatan ini sekaligus akan menyusahkan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut. Sebagai contoh apabila kebakaran berlaku orang ramai tidak dapat menghubungi pihak bomba kerana telefon awam tidak dapat digunakan kerana gara-gara sesetengah remaja yang suka merosakkan harta benda awam. Hal ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai malah boleh mengorbankan nyawa seseorang.

Kesan kepada negara akibat masalah ini kerana remaja merupakan tonggak masa depan negara dan mereka juga yang akan mencorakkan identiti dan mentadbir negara kelak. Sekiranya masalah ini tidak dapat dibendung maka negara kita akan dipandang serong oleh negara lain disebabkan oleh kelemahan dalam pentadbiran. Kesannya juga akan merugikan negara dari segi kos perbelanjaan iaitu kerajaan terpaksa mengeluarkan wang untuk membaiki harta benda awam yang rosak. Hal ini disebabkan oleh kegiatan vandalisme yang dilakukan para remaja. Wang yang banyak perlu dihabiskan untuk membaiki dan menyelengggara barang yang rosak tetapi sekiranya hal ini tidak berlaku wang tersebut boleh disalurkan kepada yang memerlukan seperti membantu mereka yang lebih memerlukan.

Selain itu, imej negara akan tercemar di mata dunia dan hal ini sudah tentu akan menjejaskan ekonomi Malaysia kerana pelancong luar tidak mahu datang ke negara kita akibat keadaan alam sekeliling yang buruk dan sikap rakyat yang tidak berprihatin. Pandangan negatif pelancong yang datang ke negara kita mestilah tidak elok apabila mereka melihat tempat-tempat atau kemudahan-kemudahan yang telah rosak dan diconteng. Mereka juga akan membuat andaian bahawa rakyat di sini tidak menghargai kemudahan yang telah disediakan. Sebagai rakyat yang tidak melakukan perbuatan tersebut sudah semestinya akan berasa malu apabila mendengar pelancong mengatakan ketidakselesaan mereka di negara kita. Kesannya, industri pelancongan akan merosot dan ini akan menyebabkan rakyat menganggur akibat kekurangan sektor pekerjaan dan seterusnya, pihak kerajaan akan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membaikpulihkan infrastruktur yang dimusnahkan.


LANGKAH-LANGKAH

Walaupun selama ini perbuatan vandalisme tidak dianggap sebagai jenayah, namun perbuatan ini tidak boleh dibiarkan. Ada sesetengah pihak tidak mempedulikan perbuatan ini kerana menganggapnya sebagai fenomena sementara yang akan terhenti dengan sendiri. Benarkah begitu? Vandalisme dilakukan secara berterusan daripada satu generasi kepada generasi lain. Jika perbuatan ini didiamkan begitu sahaja, sudah tentu kita menggalakkan perbuatan vandalisme terus berleluasa. Oleh itu, semua pihak perlu mencari penyelesaian dan jalan keluar untuk mengatasi masalah ini.

Antara langkah-langkah yang perlu di ambil ialah pendidikan moral atau agama perlu diterapkan di dalam diri seseorang anak. Ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting bagi mebentuk nilai-nilai murni di dalam diri anak-anak mereka. Mereka juga perlu memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Anak yang baru dilahirkan ibarat sehelai kain putih dan ibu bapalah yang berperanan membentuk sahsiah diri mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh memberi lebih tumpuan dan memberi nasihat atau dorongan yang membina apabila anak-anak mereka menghadapi sesuatu masalah. Sesungguhnya ibu bapa adalah kunci utama dalam menangani kemelut yang melanda negara pada masa kini. Justeru itu, ibu bapa perlu bijak memainkan peranan agar anak-anak tidak terjebak dalam gejala seperti ini kerana sekali melangkah pasti sukar untuk berpatah balik. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mengawasi setiap pergerakan anak dan mengenali rakan-rakannya untuk memastikan mereka tidak silap memilih rakan.

Selain itu, setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak-anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini. Di samping itu, masyarakat juga haruslah berganding bahu dalam menangani masalah ini terus berleluasa. Masyarakat perlu peka dengan keadaan sekeliling dan janganlah memandang perbuatan ini dengan sebelah mata jika melihat remaja melakukan perkara-perkara negatif seperti merosakkan harta benda awam dan seumpamanya. Mereka hendaklah mempunyai sikap menjaga tepi kain orang jika ingin menbendung masalah seumpama ini. Selain itu anggota masyarakat perlu memainkan peranan penting dengan memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme dan kesannya kepada orang ramai akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Pihak kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah ini. Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan kepada pesalah yang melakukan vandalisme. Sebagai contoh, pesalah-pesalah vandalisme perlu menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. Tindakan ini dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan kepada rakan-rakan. Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen antivandalisme dan menyediakan pelbagai program untuk disertai oleh remaja. Dengan kerjasama semua pihak, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat dibendung. Para remaja harus belajar mendidik diri mereka agar benci akan perbuatan yang tidak berfaedah ini . Mereka perlu sedar tentang kepentingan menjaga harta benda awam. Selain itu, mereka juga perlu didedahkan kepada kepentingan menjaga harta benda awam supaya mereka sedar bahawa kerosakan harta benda awam akan menyukarkan diri sendiri mahupun orang lain.


KESIMPULAN

Kesimpulannyam, semua pihak haruslah turun padang dan berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Sesungguhnya setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya kerana tiada gunung yang tinggi tidak dapat didaki dan tiada lurah yang dalam tidak dapat dituruni. Selain itu, golongan remaja juga digalakkan supaya tidak melakukan perbuatan vandalisme kerana perbuatan itu bukan sahaja merosakkan pemandangan tetapi juga akan menjejaskan nama baik diri, keluarga serta negara. Bagi remaja yang melakukan vandalism, mereka perlulah insaf dan bertaubat serta menjadi individu yang berketerampilan beriltizam dan pragmatik agar visi 2020 akan dapat dilahirkan dengan jayakan.

Category:

Vk bhardwaj: My name is vikas . I'm administrator of Www.BestTheme.Net.This blog was opened for Demo test .

0 comments

Related Posts with Thumbnails